Saya simpati.. kerana perceraian adalah menyakitkan. Namun, saya teringat
pesanan seorang sahabat bahawa penceraian bukanlah perkara yang buruk, ia
adalah ujian dari banyaknya ujian ALLAH yang lain.
Dan percayalah, takdir ALLAH SEMUANYA baik. Perceraian membuka ruang untuk
bertemu jodoh lain yang lebih baik, atau mungkin juga membina kembali
rumahtangga yang jauh lebih baik dengan insan yang sama.
Setelah beberapa minggu bercerai, suaminya datang kembali ingin merujuk.
Pertama kali membaca kisah yang membawa kepada perceraiannya, saya terus
bersetuju kalau dia bercerai.
Dan saya juga sependapat agar jangan melayan sebarang ajakan untuk rujuk
kembali, kerana betapa teruknya perangai suami itu (maki hamun, mencarut
tapi lelaki itu tak pernah memukul, kata isteri). Sikap keluarga suami
juga mendatangkan stress dan kelukaan di hati isteri.
Namun bila saya memikir-mikir semula kisahnya, saya merenung-renung
berbagai perkara.
Antaranya, saya kasihan dengan si suami. Walaupun nampaknya dia di pihak
yang salah, dia pasti masih punya kasih pada anak dan isteri yang telah
diceraikan.
Seorang suami pasti bersedih terpaksa bercerai kerana karakter buruknya,
sedangkan suami itu juga manusia biasa yang ingin memiliki karakter suami
yang lebih baik dan lebih disayangi ALLAH serta insan-insan lain..
Dan yang saya fikirkan juga ialah - apakah segala keburukan, kesalahan dan
kejahatan seseorang suami atau isteri itu harus diselesaikan dengan
perceraian..?
Sejauh mana kita harus bertahan..? Semudah mana harus kita memutuskan ikatan..?
Apa yang membuatkan kita mampu menjalin semula ikatan pernikahan yang telah renggang atau terungkai.?
Buat diri-diri yang telah beristeri dan bersuami, ayuh kita sama-sama memperbaiki diri dalam sebuah alam perkahwinan...
Kita semua datang dari keluarga yang berbeza-beza, mendapat pengalaman
hidup dan didikan awal yang berbeza-beza.
Jadi proses pmbinaan rumahtangga bahagia dan perbaikan harus bermula dari
awal-awal lagi.
Di awal-awal pernikahan, lihatlah kebaikan-kebaikan pasangan, pujilah dan
hargailah agar dia bermotivasi untuk mengekalkan kebaikan-kebaikan yang
ada itu.
Namun jangan terlupa melihat kekurangan dan kesilapan si dia yang
disayang,kesalahan itu bukan untuk kita besar-besarkan namun untuk saling
menasihati, membimbing dan memberi kekuatan melakukan perubahan.
Jangan menunggu hingga berbulan-bulan apatah lagi bertahun untuk kita
menegur kesalahannya. Jangan menunggu lama untuk kita meluahkan rasa tidak
seronok dan rasa sedih kita dengan beberapa tingkahnya. Jangan memendam
rasa atas hak-hak yang diabaikannya.
Hingga setelah sekian lama keluarlah antara 'ayat-ayat yang membunuh'
seperti:
- "Sejak kahwin abang tak pernah gembirakan saya.."
- "Perangai buruk awak tak pernah berubah.."
- Selama dua tahun kita hidup ni, setiap hari saya makan hati dengan awak.."
Kerana frasa 'tidak pernah' dan 'setiap hari' yang digunakan dalam konteks
itu adalah ayat yang cuba menafikan sebarang kebaikan yang pernah dan
sedang diusahakan pasangan..
Tegurlah kelemahan dan kesilapan pasangan kita secara jelas namun
berhikmah.Kongsikan apa yang kita rasa dan fikirkan tentang hak kita yang diabaikan,
komunikasikan sedalam mana kesilapan dan tindakan salah suami atau isteri
itu menghiris atau memakan perasaan.
Jangan fokus pada kesalahan pasangan, itu memberi tekanan lagi
membosankan.
Namun jangan juga dibiarkan, itu akan makin merosakkan karakter pasangan.
Kita ambil yang pertengahan dalam memperbaiki keadaan. Pertengahan yang
bagaimana..? Tentunya yang bersesuaian dengan gaya rumahtangga kita, tak
semestinya ikut pendekatan rumahtangga orang lain.
Yang sering terjadi ialah, apabila melihat keburukan karakter orang lain,
kita akan menjauhkan diri dari orang itu.
Adakah kita hanya ada kekuatan untuk menyebutkan kesalahan suami atau
isteri pada orang lain, tapi kita seolah tak berdaya membawa suami atau isteri
duduk bersama kita memuhasabah diri.
Ya, sangat susah untuk melihat perubahan karakter negatif pasangan. Bukan
seminggu, bukan sebulan, malah mungkin bertahun pun masih tak berubah.
Maka,sangat sedikit yang mahu membantu dan bersamanya memperbaiki diri, sangat
sedikit yang mahu menasihati dengan hikmah dan penuh kesabaran.
Namun jangan kita menyerah kalah dan memilih meninggalkan pasangan dengan
kelemahannya itu. Dia memerlukan kita untuk memberinya kekuatan melalui
kehidupan ini. Di juga sangat merindukan keharmonian sebuah keluarga.
Dia memerlukan kita untuk menjadi suami dan isteri yang lebih baik, hanya
saja kita yang bernama suami dan isteri mungkin kurang terdedah kepada
ilmu-ilmu komunikasi dan tips-tips untuk menyembuhkan dan meneguhkan
kembali rumahtangga yang hampir roboh dengan taufan kesalahan.
Kerana keharmonian pernikahan sesungguhnya sebuah proses yang panjang -
proses mengenali, proses mencari keserasian, proses membina keperibadian
suami dan isteri yang lebih baik..
Pernikahan bukan sekadar untuk menikmati kebaikan dan kelebihan pasangan,
namun terlebih penting bagaimana untuk terus sayang, saling membimbing dan
bergandingan apabila keburukan menjelma menutupi kemanisan rumahtangga
yang didirikan.
Untuk perbaikan, pertama, kedua-dua pihak harus telus mengenalpasti
kesilapan dan mengakui kesalahan masing-masing, jua bersedia untuk
berubah.Juga tidak saling menyalahkan, namun saling memaafkan tanpa syarat.
Antara pepatah yang sering didengar tentang alam pernikahan ialah:
Pernikahan memerlukan kita jatuh cinta berulang kali pada orang yang sama.
Mungkin boleh juga ditambah:
Pernikahan memerlukan kita menghadiahkan maaf berulang kali kepada orang
yang sama.
Di bawah ini saya kongsikan contoh ayat-ayat yang boleh dipelajari untuk
kita saling menasihati sesama suami dan isteri, ayat-ayat ini ada yang
boleh digunapakai secara bersemuka atau SMS.
Ini adalah hasil pembacaan saya dari buku-buku tentang relationship, juga
mengolah pengalaman sendiri dan orang lain.
*kerja-kerja pembaikan pernikahan sedang dijalankan*
Babak A
"Sayang..boleh abang cadangkan sayang pakai baju kurung yang lain, baju ni
sesuai kalau kita nak pergi dinner kat hotel, tapi tak sesuai untuk ziarah
mak yang sakit di hospital..." lembut tegur si suami.
"Ohh ya ke, hmm ok sayang tukar.. thanks abang tegur.. hmm baju kurung biru
atau yang hijau lembut ni sesuai tak?" isteri menerima teguran dengan rendah
hati dan lapang dada.
Babak B
"Abang..saya nak kongsi dengan abang kelemahan diri saya.. saya sebenarnya
tak boleh nampak orang yang kaya, saya rasa sakit hati, saya rasa tak
suka..saya rasa mereka ni sombong, kedekut.. saya tahu itu negatif, saya cuba
buang, tapi perasaan tu selalu datang.. sebab tu saya kadang-kadang rasa
berat dan tak suka pergi open house saudara mara abang yang kaya-kaya tu."
luah si isteri dengan nada yang tenang namun rasa bersalah.
"Ohh macam tu ya.. patutlah abang nampak kadang-kadang sayang menyendiri
bila kita selalu pergi rumah Auntie XXX. Abang tak perasan pula, sebab
sayang pandai bawa diri, sayang ada juga beramah mesra dengan mereka..
takpe abang cuba faham..hmm macam ni lah, abang rasa kita cuba teruskan
perlahan-lahan bergaul dengan mereka..bukan semua orang kaya sombong dan
kedekut.. tapi kalau sayang rasa tak selesa, kita boleh balik awal-awal.. ok
ke cadangan abang..?" begitu respon suami melegakan hati isteri.
Babak C
"Abang..terima kasih abang luangkan masa dengan saya.. Baby dalam perut ni
suka dengar suara abang bercerita kisah-kisah dari Al Quran..hmm .." luah
isteri gembira bila suami menyediakan masa 'bersembang' dengan anak yang
masih dikandung.
"Terima kasih banyak-banyak juga abang, abang penat kerja.. tapi abang
juga yang banyak buat kerja-kerja rumah.. minta maaf alahan mengandung saya ni
teruk, saya memang rasa tak larat.. tak dapat nak masak, tak dapat nak
layan abang sangat.." luah isteri.
"Takpelah, sayang pun banyak selesaikan urusan rumahtangga, jaga rumah,
tengokkan mak ayah abang.. sayang tengok-tengokkan studi adik-adik abang..
Baaaaaaaaanyak kebaikan sayang, nanti baby ni pun baik macam ummi dia.."
respon si suami yang menggembirakan hati isteri.
Babak D
"Alamak..kita dah salah jalan ni.." ujar suami.
"Takpe abang..bagus juga kita explore jalan baru.. hmm kita dah lewat nak
lunch, sian abang dah lapar ya.. saya ada cadbury..abang makan lah sikit
bagi tambah tenaga nak pusing-pusing cari jalan nie.." begitu respon
isteri hingga isteri dapat markah lebih dari suami.
BABAK E
"Sayang pandai masak, sayang rajin berkemas, sayang jaga anak kita dengan
baik.. abang happy sayang jadi isteri abang.. dan abang lagi happy kalau
sayang boleh lebihkan masa di rumah dengan famili.. dua bulan ni abang
nampak sayang busy sangat dengan kerja-kerja bisnes tu.. " itulah antara
teguran berhikmah suami bila isteri nampak tidak seimbang dalam
menguruskan rumahtangga dan kerjaya.
BABAK-BABAK SETERUSNYA
"Abang saya happy sangat bila abang.bla..bla.."
"Sayang betul-betul hargai bila abang..bla..bla.."
"Saya bahagia ada abang sebab abang..bla..bla.."
"Saya selesa bila abang..bla..bla.."
Pujilah, dan sebutlah secara spesifik perkara yang kita suka suami lakukan.
Moga dia akan terus melakukan.
Dan di sebalik segala pujian dan penghargaan, kongsikan juga secara lembut
dan tenang satu dua perkara negatif tentang suami [spesifik] yang membuat
kita kerap berjauh hati dengan suami.. insyaALLAH suami menerima dan
bertekad membetulkan kesilapan.
"Abang saya sedih, takut bila abang.bla..bla.."
"Abang saya tak selesa dan tak seronok bila abang.bla..bla.."
"Ok sayang, abang cuba baiki.. sayang ingat-ingatkan abang ya.. " respon
suami dengan baik bila isteri bukan sekadar menyebut-nyebut kelemahannya,
namun isteri juga mengiktiraf kebaikan dan kelebihan dirinya.
*kerja-kerja meruntuhkan pernikahan sedang dijalankan*
BABAK A
"Apa pakai macam ni! Pakailah elok-elok sikit..!" sergah si suami.
"Alah abang ni, yang saya pakai semua tak kena!.. Abang pergilah sorang..!"
isteri pun menjawab keras dan bermasam muka.
BABAK B
"Apasal pulak tak suka orang kaya..???? Apasal yang awak kolot
sangat..orang-orang kaya memanglah gaya hidup macam tu..?!" terus berubah
marah wajah suami dengan luahan isteri yang tak selesa dengan gaya hidup
orang-orang kaya.
BABAK C
"Kenapa tak sampai-sampai lagi ni? Kenapa abang ikut jalan lain? Abang ni
selalu sesat.. Itulah saya dah cakap ikut jalan tadi tu..abang nak juga ikut
jalan ni" rungut si isteri.
"Itulah abang..kan saya dah cakap, tapi abang degil nak buat jugak.."
"I told you so.. see??!
"Itulah..saya dah cakap..!" atau "I told you so.." adalah frasa yang
kalian perlu buang dari kamus hidup berumahtangga kerana ayat itu menyakitkan,
menjatuhkan dan tak membina langsung.
Ayat-ayat lain yang perlu dibuang:
"Abang tak pernah gembirakan saya."
"Abang selalu buat saya sedih.."
"Kenapalah abang ni tak macam suami orang lain.."
Kadang-kadang mungkin kita tak sedar - konflik dan pergaduhan suami isteri
itu banyak berpunca dari pilihan perkataan, nada dan susunan ayat... Bad
communication secara halus menghiris perasaan dan akhirnya menjadi luka
bernanah yang sukar disembuhkan.
Bersediakah kita belajar bercakap untuk berubah ke arah pernikahan yang
mantap?
Buatmu duhai teman, bersama kita memohon pada ALLAH setulusnya, agar
menunjukkan kita dan pasangan jalan untuk memperbaiki hubungan, sama ada
kita sudah bercerai atau kita berada di fasa-fasa yang menunjukkan jalan
perceraian.
ALLAH tidak mengizinkan ujian buruk ini berlaku padamu duhai teman, namun
kita sangka baik pada ALLAH - bahawa gelombang hebat dalam rumahtangga ini
ALLAH hadirkan kerana ALLAH berkehendak kita menjadi lebih baik pada
pasangan, lebih baik dalam mendekati tuhan.
"Abang. saya minta maaf, saya betul-betul minta maaf.. Saya minta maaf
kerana ________, ________ dan __________. Saya sayang sangat kat abang dan
rumah tangga kita. Saya dan anak kita perlukan abang, perlukan kasih
sayang abang, perlukan sokongan dan dorongan seorang suami dan ayah. Abang.kita
mulakan sekali lagi.. kita sama-sama saling mengingatkan ya. " lafazkanlah
tulus dari hati.
ALLAH mensyariatkan perceraian selama tiga kali (sampai talak tiga).
Hikmah yang saya nampak ialah suami isteri ada ruang dan kesempatan untuk
kembali berbaik-baik, ada peluang bersama memperbaiki diri dan
mudah-mudahanperceraian pertama menjadi momentum hebat untuk mendapat perkahwinan yang
hebat [samaada kembali berkahwin dengan orang yang sama, atau pernikahan
dengan orang lain].
Usahakanlah meminta maaf dan memberi maaf setulusnya. Kongsikan harapan
dan perasaan dari lubuk hati terdalam, duduklah secara aman bersama pasangan
membincangkan strategi dan hala tuju perubahan yang ingin dilakukan.
Setelah kembali berbaik, kita pasti tak dapat melupakan kisah-kisah sedih
dan perit yang berlaku antara kita suami dan isteri - bagilah masa pada
diri sendiri untuk mengusir kesakitan dan kelukaan itu.
Namun, jangan sering mengulang tayang di minda kita pergaduhan atau
konflik teruk yang telah berlaku - itu akan menghalang kita membina kebahagiaan di
depan. Akan menghalang pandangan kita untuk melihat kemampuan pasangan
merubah diri menjadi lebih baik.
Dan seandainya setelah difikir-fikirkan dengan mendalam, bahawa amat rumit
untuk kembali melalui kehidupan dengan pasangan yang sama, kita tak mampu
membina semula cinta, kita tak mampu menahan keburukannya, maka di sana
ISLAM menyediakan perceraian agar suami isteri tidak saling berdosa kerana
terus menyakitkan pasangan.
Apapun, jika status berubah bukan sebagai suami isteri, kita ada ikatan
persaudaraan islam yang tetap mengikat kita dengan bekas pasangan.
Sebagai seorang saudara muslim, dia tetap memerlukan tulus doa dan tulus
cinta kita kerana ALLAH, selagi dalam batas syariatNYA.
Sekian perkongsian, moga menjadi muhasabah pada diri ini dan para pemikul
amanah rumahtangga.. moga ujian-ujian ini menjadi wasilah kita meraih
ampunan dan syurgaNYA.






Tiada ulasan:
Catat Ulasan